Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Pameran HBK membentuk belia berdaya tahan, berpengetahuan, bersedia
16/08/2025

 


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama paduka-paduka anakanda dan adinda baginda berkenan berangkat dan menyaksikan pameran pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-20, Tahun 2025 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

Pada tahun ini, Sambutan HBK Ke-20 membawakan tema yang masih dikekalkan sebagaimana tahun yang sebelumnya iaitu 'Belia Siaga Masa Depan'.

Konsep pameran pada tahun ini berlandaskan gagasan 'Belia Dinamik' yang menzahirkan belia sebagai generasi aktif, progresif dan adaptif terhadap perubahan zaman, memiliki kepimpinan berwawasan serta berperanan sebagai agen perubahan dalam pembangunan negara melalui bidang keusahawanan, teknologi, kesukarelawanan, kesenian, sukan dan inovasi sosial.

Pameran ini sekali gus menjadi wadah untuk memperlihatkan kejayaan serta sumbangan belia dalam pelbagai bidang dan seterusnya menginspirasi generasi muda Brunei menuju masa depan yang lebih gemilang.

Selain itu, 'Kepekaan Sosial dan Inklusif' yang mana belia yang siaga masa depan ialah mereka yang cakna terhadap komuniti, peka terhadap isu sosial, mampu memacu perubahan yang inklusif dan keterlibatan belia dalam masyarakat dan 'Kepimpinan dan Daya Tahan' di mana belia bukan sekadar pengikut, mereka adalah pemimpin yang perlu diasuh dengan nilai integriti, empati dan kecekalan mental.

Sebanyak 20 buah pameran sempena Sambutan HBK untuk kali ini yang mengetengahkan empat kluster utama iaitu Pertama : Kluster Modal Insan atau Generasi Profesional memfokuskan kepada pembangunan kemahiran abad ke-21 bagi melahirkan belia berpengetahuan dan berdaya saing. Dalam kluster ini, pameran juga turut memfokuskan kemahiran teknikal, digital dan vokasional para belia negara.

Kedua : Kluster Ekspresi Kreatif dan Budaya pula menampilkan karya dan hasil belia dalam bidang seni, reka bentuk, kandungan digital dan perfileman. Dalam erti kata yang lain, kluster ini mempamerkan seni, reka bentuk, muzik dan kandungan digital dan perfileman yang setentunya telah dihasilkan oleh belia-belia tempatan yang bebakat.

Seterusnya, Ketiga : Kluster Teknovasi memberi perhatian kepada transformasi ekonomi melalui keusahawanan teknologi dan agro iaitu di dalam pameran ini, ia mempamerkan Start-Up dan Aplikasi Pintar, Fintech dan Teknologi Kewangan, EduTech dan Pembelajaran Digital, Teknologi Sosial dan Komuniti serta Inovasi Produk Pintar.

Manakala Keempat iaitu kluster yang terakhir : Kluster Kesejahteraan (Sosial, Kesihatan dan Sejahtera) menekankan inisiatif belia dalam aspek sosial, kesihatan dan alam sekitar. Dalam erti kata yang lain, pameran ini memfokuskan kepada keagamaan, sosial, sektor kesihatan (kecergasan dan pemakanan), teknologi hijau dan pintar serta pembangunan mampan.

Turut diperkenalkan ialah Program Biz Belia, hasil kerjasama Bank Usahawan dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang menyediakan sokongan pembiayaan berjumlah BND1,000 hingga BND5,000 kepada usahawan muda tempatan berumur 18 hingga 35 tahun. Program ini bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah menjadi batu loncatan untuk meraih ilmu pengetahuan dan memperkasa perniagaan belia ke arah yang lebih mampan.

Inisiatif KKBS melalui pelbagai agensi di bawahnya mempamerkan pelbagai program dan usaha strategik bagi memperkukuh pembangunan belia negara antaranya 'Pembangunan Belia dan Sukan' iaitu memberikan fokus kepada perancangan dan pelaksanaan program yang menyeluruh bagi pembangunan potensi belia serta kemajuan sektor sukan di semua peringkat.

Kemudian, Jabatan Belia dan Sukan pula memacu pelaksanaan program pembangunan bakat, kemahiran dan kepimpinan belia dan Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN), menggalakkan semangat sukarelawan, disiplin dan jati diri dalam kalangan belia melalui penglibatan aktif dalam aktiviti komuniti serta Pusat Pembangunan Belia (PPB) telah menyediakan latihan kemahiran teknikal, vokasional dan profesional untuk meningkatkan daya saing belia di pasaran kerja.

Manakala Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), membentuk ketahanan fizikal, mental dan kepimpinan belia melalui program pembangunan diri berasaskan pengembaraan dan aktiviti luar.

Sambutan HBK Ke-20 turut disokong oleh beberapa rakan strategik antaranya Laksamana College of Business, Inisiatif Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee, Balurih Travel Sdn. Bhd., Imagine Sdn. Bhd. serta Bravo Studios.

Penglibatan rakan strategik ini dapat menyerlahkan kerjasama pelbagai sektor dalam memperkukuh peranan belia sebagai ejen perubahan positif yang mampu memberi impak di peringkat nasional mahupun global.

Dengan pelbagai inisiatif yang diketengahkan, Sambutan HBK Ke-20 bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi platform dinamik untuk membentuk belia berdaya tahan, berpengetahuan dan bersedia menghadapi cabaran dunia, seiring dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto